QIRAAT SYAZZAH


TAKRIF QIRAAT SYAZAH DAN JENIS-JENIS SYAZAH

TAKRIF DAN PENGENALAN QIRAAT SYAZAH

BAHASA : Qiraat syaz dari sudut bahasa syaz membawa maksud Bersendirian.
ISTILAH :  Qiraat yang telah gugur salah satu atau kesemua rukun qiraat mutawatir.

APA ITU SYAZAH:
Syazah adalah sanad yang mempunyai kecacatan iaitu tidak besambung kepada Nabi Muhammad s.a.w. atau tidak menepati daripada salah satu daripada tiga rukun qiraat sohih. Hukum qiraat syazah ini tidak boleh dibaca dalam atau luar solat. Apabila salah satu rukun daripada tiga rukun qiraat ini tergugur maka dia dinamakan qiraat syazah.

انواع الشاذ
JENIS-JENIS SYAZAH:

1. Ahad, iaitu qiraat yang sanadnya sohih tetapi tidak sampai mutawatir dan menyalahi Rasm Uthmani atau kaedah Bahasa Arab.
2. Syaz iaitu qiraat yang tidak mempunyai salah satu daripada 3 rukun qiraat. 
3. Mudraj, iaitu qiraat yang ditambah dengan kalimat lain yang merupakan tafsirnya.
4. Maudhu' iaitu qiraat yang dinisbahkan kepada orang yang mengatakan(mengajarkannya) tanpa            mempunyai asal-usul qiraat sama sekali.
5. Masyhur iaitu qiraat yang sanadnya sohih tetapi tidak mencapai darjat mutawatir serta sesuai dengan kaedah bahasa Arab dan Rasm Uthamani.



HUKUM QIRAAT SYAZZAH

Berikut adalah pendapat daripada fuqaha' yang muktabar berkaitan dengan hukum qiraat syazzah dalam mengguna hujah dan dalil :

PERTAMA : Mazhab Imam Malik Bin Anas (W.179H.)


Kata Al-Imam Ali Bin Ismail Al-Ibyari : Yang masyhur dari mazhab Malik dan Syafie bahawasanya qiraat syazzah itu bukanlah hujah.

Mazhab Maliki berpendapat bahawa tidak boleh berhujah dengan qiraat yang syaz secara mutlak. Ini kerana, orang yang menukilkan qiraat syazzah ini mengatakan bahawa ianya daripada Al-Quran. Jika ianya tidak sabit sebagai Al-Quran demikian juga ia tidak sabit untuk dijadikan khabar. Oleh yang demikian itu maka tidak boleh berhujah dengannya.

KEDUA : Mazhab Imam Muhammad Bin Idris Al-Syafie (W.204H.)

Imam Saifuddin Al-Amidi telah menisbahkan kepada Imam Syafie bahawasanya beliau mengatakan qiraat syazzah ini bukanlah hujah. 

Kata Al-Imam Abu Zakaria Yahya Al-Nawawi Rahimahullah : Mazhab kami (Syafi'iyyah) mengatakan bahawa qiraat syazzah itu tidak boleh berhujah dengannya serta ada baginya (qiraat syazzah ) hukum khabar dari Rasulullah S.A.W . 

Diantara pendapat dalam mazhab Al-Syafie adalah : tidak boleh berhujah dengan qiraat syazzah apabila ia bersendirian dalam sabitkan hukum yang baharu. Adapun sekiranya ia merupakan qiraat bayaniah (dalam bentuk memberi penjelasan),sahih sanadnya, serta tidak bercanggah dengan khabar ataupun kias maka boleh untuk berhujah dengannya. 


HUKUM BERAMAL DENGAN QIRAAT SYAZZAH

Apakah hukum mempelajari dan mengumpul qiraat syazzah ?

Sebagaimana yang kita ketahui bahawa membaca qiraat syazzah adalah haram manakala mempelajari dan mengajar qiraat tersebut sebagai teori, bukan untuk dijadikan amali adalah dibolehkan kerana ianya memainkan peranan penting di dalam ilmu tafsir begitu juga mengumpul qiraat tersebut di dalam kitab-kitab ilmiah.

  •  Terdapat beberapa isu qiraat syaz yang berkait dengan hukum fiqh. Terdapat juga empat mazhab fiqh yang muktabar dan  mempunyai pandangan yang berbeza terhadap penggunaan qiraat syaz untuk berhujah dan menjadi dalil hukum.
  •  Manakala hukum beribadah menggunakan qiraat syaz pula terbahagi kepada dua iaitu di dalam solat dan juga di luar solat. 
  •  Para ulama’ berbeza pendapat dan terbahagi kepada 3 mazhab sekiranya qiraat syaz dibaca di dalam solat iaitu :

Mazhab 1: Harus membaca al-Quran menggunakan qiraat syaz di dalam solat. Ini adalah pendapat sebahagian ulama’, salah satu pendapat dari ashab Syafie dan imam Abu Hanifah dan salah satu riwayat daripada imam Malik dan imam Ahmad. Mazhab ini berhujah dengan menyatakan bahawa para sahabat dan tabi’in telah membaca dengan menggunakan qiraat syaz di dalam solat mereka pada zaman nabi dan selepasnya. 

Sebagaimana yang kita ketahui, para sahabat sebelum pengumpulan al-Quran zaman Saidina Uthman, mereka membaca menggunakan qiraat yang tidak terdapat di dalam mushaf dan solat dengan menggunakan bacaan tersebut. Walaubagaimanapun, tiada seorang pun daripada mereka yang mengharamkan perbuatan tersebut ataupun menganggap solat mereka tidak sah.

Mazhab 2: Tidak harus membaca menggunakan qiraat syaz di dalam solat. Ini adalah pendapat majoriti ulama’. Mazhab ini berhujah dengan menyatakan bahawa qiraat syaz tidak mencapai tahap mutawatir daripada Rasulullah s.a.w. Sekiranya qiraat syaz ini sahih sanadnya, berkemungkinan ianya telah dimansuhkan pada pertemuan terakhir Baginda bersama Jibril a.s., ataupun dimansuhkan oleh ijmak sahabat kerana tidak menepati rasm uthmani, ataupun ianya tidak termasuk dalam ahruf as-sab’ah. 

Imam Nawawi pernah menyebut di dalam kitabnya al-Majmu’: “Tidak dibolehkan membaca al-Quran di dalam solat atau selain daripadanya dengan mengunakan qiraat yang syaz kerana ia bukan daripada al-Quran. Ini kerana, al-Quran tidak disabitkan melainkan dengan riwayat mutawatir”.

Mazhab 3: Mazhab ini berada pada pertengahan. Ini adalah pendapat sebahagian ulama’. Sekiranya qiraat syaz dibaca dalam bacaan wajib iaitu surah al-Fatihah yang merupakan rukun solat, maka tidak sah solat mereka. Ini berikutan kerana tidak diyakini mereka telah melaksanakan rukun solat dengan menggunakan qiraat yang sabit daripada Rasulullah s.a.w. 

Manakala sekiranya qiraat syaz dibaca dalam bacaan yang tidak wajib seperti surah selepas bacaan al-Fatihah, maka solat mereka tidak batal. Ini berikutan kerana tidak diyakini mereka telah melakukan perkara yang membatalkan solat disebabkan berkemungkinan qiraat syaz itu adalah sebahagian daripada ayat-ayat al-Quran yang pernah diturunkan. 



PERAWI QIRAAT SYAZZAH



1) IMAM QIRAAT :  Ibnu Muhaisin
     PERAWI QIRAAT : Al Bazzi dan Syabal Ibnu Abbad

2) IMAM QIRAAT : Yahya Al-Yazidy
    PERAWI QIRAAT : Sulaiman Bin Hakam dan Ahmad Bin Farah

3) IMAM QIRAAT : Al Hassan Al Basri
    PERAWI QIRAAT : Shuja' dan Isa As-Saqafi

4) IMAM QIRAAT : Al-A'masy
    PERAWI QIRAAT : As-sa'nabuzi dan Al-Muthowwei



CONTOH-CONTOH QIRAAT SYAZZAH

Berikut merupakan contoh-contoh bagi qiraat syazzah :

1.Di dalam surah al-baqarah , Allah S.W.T berfirman :

                وَمَا أُنزِلَ عَلَى الْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَارُوتَ وَمَارُوتَ

Maksudnya:Dan apa yang telah diturunkan ke atas dua malaikat Harut dan Marut di Babil(Babylon). 
                                                                                         
Qiraat di atas dibaca oleh Al-Dahlak Bin Muzahim dengan kalimah وما أنزل على الملِكين dengan huruf (lam) yang berbaris bawah yang membawa erti dua raja iaitu Nabi Daud A.S dan juga Nabi Sulaiman A.S. Bacaan diatas dianggap syaz kerana ianya tidak mutawatir.

2.Saidina Abu Musa Al-Asy'ari membaca firman Allah :



وَلاَ تَنسَوُاْ الْفَضْلَ بَيْنَكُمْ

Maksudnya : Janganlah kalian lupakan kelebihan yang Allah kurniakan diantara kalian.

Beliau membacanya dengan  ولا تناسوا dan bacaan ini dianggap syaz kerana tidak mutawattir dan tidak menepati Rasm Uthmani.

3. Firman Allah S.W.T 

مَا نَنسَخْ مِنْ آيَةٍ أَوْ نُنسِهَا


Maksudnya : Apa yang kami nasahkan daripada ayat ataupun kami lupakannya.

Imam Abu Aswad Ad-Dua'li membacakan ayat ini dengan kalimah  أو تنسها yang merujuk kepada Dhamir ( kata ganti diri) kamu yang merujuk kepada Nabi Muhammad S.A.W . Qiraat ini juga tidak mutawatir yang menjadikan ia sebagai qiraat syazzah. 

BILANGAN QIRAAT SYAZZAH

Qiraat syaz yang masyhurnya terbahagi kepada empat. Berikut kami kongsikan qiraat-qiraat yang disebut sebagai qiraat syazzah di sisi para ulama'

  • Ibn Muhaisin
  • Al Yazidi
  • Al-Hassan
  • Al-A'masy


  

Comments